Sunday, August 30, 2009

Dunia..

Hmm.. jam sudah menunjukkan kul 4.00 pagi.. aku keluar dari rumah jam 10:00 malam ke satu majlis "Asyir Ramadhan" sempena malam 10 Ramadhan.. majlis selesai kul 12:00 dan aku bertolak balik dekat-dekat jam 1 pagi..selepas sedikit jamuan dan sembang2 sesama ikhwan..

Sepatutnya aku terus pulang kerumah sekurang2 boleh buat wirid yang telah lama aku tinggalkan atau membuatkan sesuatu amalan yang boleh mengurangkan beban dosa yang aku tanggung.. namun aku
memilih untuk menelefon seorang rakan aku yang dunianya berbeza dengan rakan-rakan yang aku jumpa sebelumnya tadi untuk tujuan lepak dan minum minum kat kopitiam berdekatan... then datang lagi beberapa orang kawan dan kami lepak sampai kul 3.50 dan aku pulang tanpa amal melainkan borak2 biasa dan gelak ketawa..

Kedua-duanya adalah kawan.. satu kawan yang menambah iman dan bantu membantu dalam soal agama.. dan satu lagi kawan yang menambah ilmu dalam erti persahabatan yang ikhlas dan banyak bantu membantu dalam sesetengah urusan keduniaan juga hiburan..

dua dunia berbeza tapi saling melengkapi kehidupan aku yang daif ini.. namun dunia mana yang aku mahukan.. kerana sesungguhnya perjalanan hidup ku didunia ini bergantung pada dunia mana yang aku pilih dan duniaku pula akan dicorakkan melalui pergaulan aku dengan dunia kawan-kawan aku...

Nabi SAW ada bersabda yang bermaksud "Bandingan teman duduk berbual yang baik dan yang buruk adalah seperti pembawa kasturi dan tukang besi. Adapun pembawa kasturi, sama ada dia berikan engkau kasturi, atau engkau beli daripadanya, atau engkau dapati bau harumnya. Sementara tukang besi, sama ada ia membakar pakaian engkau, atau engkau akan dapati bau yang busuk" (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Benarlah sabdaan Nabi SAW dan natijahnya hidup ku masih terumbang ambing.. Aku bukanlah bertujuan memburukkan kawan-kawan aku kerana mereka adalah sebahagian daripada aku dan dunia ku.. dan mereka mempunyai kelebihan dan kebaikan tersendiri yang kadang kala aku sendiri merasa malu kerana tidak mempunyai hati yang lapang dan ikhlas (dalam berkawan) seperti mereka.. namun apa yang aku ingin sampaikan disini ialah bagaimana kita berkawan dan bagaimana dunia mereka mempengaruhi kita atau kita mempengaruhi dunia mereka..

karya-karya hadis yang silam sering dimasukkan bab Mujalasah al-Salihin bermaksud bersampingan dengan orang soleh sebagai satu ibadah dan satu langkah penting dalam membentuk peribadi insan.

"Berziarahlah kamu kepada orang-orang soleh! Kerana orang-orang soleh adalah ubat hati."
(Habib Abdullah Bin Muhsin Al-Attas)

"Seindah-indahnya tempat di dunia adalah tempat orang-orang yang soleh, kerana mereka bagai bintang-bintang yang bersinar pada tempatnya di petala langit."
(Habib Alwi Bin Muhammad Al-Haddad)

Telah Berkata seorang ulama besar, Sidi Ibrahim Al-Khawas RA: “ Sesungguhnya ubat hati itu ada lima perkara, maka ubatilah hati kamu dengan lima perkara tersebut. Pertamanya, bacalah Al-Quran dengan menghayati isi kandunganya. Kedua, mengosongkan perut dari terlalu kenyang atau berpuasa. Ketiga, bangun ( beribadat ) di waktu malam. Keempat, menghampirkan diri kepada Allah ( beribadat ) disepertiga malam dan yang kelimanya, sentiasa bersama-sama di dalam majlis orang-orang yang soleh".

Menyebut tentang ini aku teringatkan lagu jawa yang dipopularkan oleh opick yang mana diantara bait-bait lagu ini menyebut juga bahawa antara ubat hati itu adalah berkumpul dengan orang "Soleh" (yang benar2 soleh zahir dan batin laa.. bukan nampak macam soleh atau mendakwa soleh)

Menurut sesetengah riwayat lagu ini diciptakan oleh salah seorang Wali Songo iaitu Sunan Bonang r.a(1465- 1525) yang menginsafkan anak muridnya yang bergelar Brandal Lokajaya dan kemudian lebih dikenali dengan nama Sunan Kalijaga r.a (juga salah seorang wali songo)

Lagu Tombo Ati (Ubat Hati)

Tombo Ati iku limo perkorone
Kaping pisan moco Qur’an lan maknane
Kaping pindo sholat wengi lakonono
Kaping telu wong kang sholeh kumpulono
Kaping papat kudu weteng ingkang luwe
Kaping limo dzikir wengi ingkang suwe

Salah sawijine sopo iso ngelakoni
Mugi-mugi Gusti ALLOH nyembadani

Obat Hati ada lima perkaranya
Yang pertama baca Qur’an dan maknanya
Yang kedua sholat malam dirikanlah
Yang ketiga berkumpullah dengan orang sholeh
Yang keempat perbanyaklah berpuasa
Yang kelima dzikir malam perbanyaklah

Salah satunya siapa bisa menjalani
Moga-moga Gusti ALLAH mencukupi



k lah.. rasa cukuplah setakat ini buat hari ini.. hari ini 31 Ogos 2009, iaitu hari ulangtahun kemerdekaan negara yang ke 52.. namun telahkah jiwa dan nafsu kita mencapai kemerdekaan??

..selamat menyambut hari kemerdekaan... -arezies

No comments:

Post a Comment